Etika Penggunaan Komputer


Pengenalan

 Etika berasal daripada perkataan Greek “ethos” yang bermaksud perwatakan peribadi. Etika ialah tingkahlaku dan kelakuan moral yang dijangka diikuti oleh manusia. Etika merujuk kepada prinsip-prinsip benar atau salah yang boleh digunakan oleh individu dalam membuat pilihan bagi membimbing gelagat mereka. Apabila berhadapan dengan pilihan, individu perlu memikirkan tindakan-tindakan yang boleh diambil dan  membuat pilihan tindakan moral yang betul.
Teknologi maklumat dan sistem-sistem maklumat membangkitkan persoalan-persoalan etika baru untuk individu dan masyarakat kerana kedua-duanya memberi peluang-peluang perubahan sosial yang pesat dan ini mengancam pengagihan kuasa, wang, hak-hak dan tanggungjawab sedia ada. Ini adalah kerana seperti teknologi lain iaitu teknologi elektrik, telefon dan radio, teknologi maklumat boleh digunakan untuk melakukan jenayah dan mengancam nilai-nilai sosial yang telah ada.
Tindakan tidak beretika dalam dunia teknologi maklumat melibatkan hak cipta, harta intelek dan fenomena cetak rompak perisian komputer yang berleluasa. Matlamatnya adalah penjual mengharapkan keutungan lumayan tanpa kos pelaburan besar manakala pengguna hanya mahu mendapatkan produk yang murah tanpa mempertimbangkan aspek kualiti dan kesan negatif dalam jangka panjang.
Masalah ini menjadi semakin serius dengan adanya kemudahan Internet yang memberi laluan kepada perdagangan elektronik (e-dagang). Perkembangan-perkembangan ini secara tidak langsung menghadkan pertumbuhan pembangunan perisian dan harta intelek.
           

Etika komputer

Etika komputer, menurut Prof. J.J Moor, ialah analisis impak tabii dan sosial oleh teknologi komputer dan perumusan dan justifikasi polisi etika penggunaan teknologi tersebut. Beliau juga menggariskan tiga sebab utama kenapa masyarakat begitu prihatin ke atas etika komputer iaitu: (Management Information System, McLeod, 1995, Prentuce Hall)
  1. kemudahbentukan secara logik (logical malleability):  bermaksud kebolehan
aturcara komputer menjalankan apa yang disuruh oleh pengaturcara. Masyarakat mungkin tidak takut kepada orang di belakang komputer (iaitu profesional teknologi maklumat). Contohnya, kenyataan ‘komputer yang melakukan’.
  1. faktor penjelmaan (transformation factor): berkaitan dengan kepercayaan yang
komputer boleh mengubah secara drastik amalan kebiasaan kita. Contohnya EDI, e-mel dan lain-lain.
  1. faktor hanuman (invisibility factor) : Berkaitan dengan pandangan masyarakat melihat komputer sebagai kotak hitam. Semua operasi komputer berjalan secara terselindung atau tidak nampak (hanuman). Ini memberikan peluang untuk;
(a)       nilai hanuman pengaturcaraan: kesilapan aturcara.
(b)      pengiraan kompleks hanuman: kepercayaan terus kepada aturcara.
(c)        Penyalahgunaan hanuman: penyeliaan secara elektronik.


 Prinsip etika

Prinsip etika seperti di bawah mesti sentiasa berada dalam hati kita sebagai panduan pelaksanaan teknologi maklumat apabila kita ingin membuat pilihan etika. Prinsip tersebut adalah;
  1. Keseimbangan (proportionality): kebaikan yang dibawa oleh teknologi maklumat mesti lebih baik daripada risiko dan keburukan.
  2. Keizinan termaklum (informed consent): mereka yang menerima kesan teknologi maklumat mesti faham dan menerima risiko yang akan dihadapi.
  3. Keadilan (justice): Manfaat dan keburukan teknologi maklumat mesti diagih secara adil. Mereka yang menerima kebaikan patut menanggung sama risiko dan kepada yang tidak menerima kebaikan tidak patut menanggung risiko yang lebih.
  4. Meminimumkan risiko (minimised risk): Jika ketiga-tiga panduan (keseimbangan, keizinan, termaklum dan keadilan) diterima, teknologi maklumat mesti dilaksanakan dengan mengelak risiko yang tidak berkaitan. Banyak risiko etika yang mungkin timbul apabila melaksanakan teknologi maklumat yang mengakibatkan salah maklumat, melanggar keperibadian dan pencemaran persekitaran. Antara risiko tersebut adalah;
  1. Bagaimana tindakan undang-undang boleh diambil/dikenakan.
  2. Bagaimana kemungkinan ancaman lain berlaku yang mungkin disebabkan oleh melanggar peribadi.
 
 Kod etika

Siapakah yang perlu diutamakan walaupun terdapat kod etika? Majikan, pelanggan masyarakat atau siapa? Tujuh soalan cadangan John McLeod dapat menentukan etika sesuatu tindakan;
  1. Adakah satu kehormatan (honourable)? Adakah sesiapa yang anda hendak menyembunyikan tindakan itu?
  2. Adakah satu kejujuran(honest)? Adakah melanggar kejujuran atau pengkhianatan kepercayaan?
  3. Adakah mengelak kemungkinan pertentangan kepentingan? Adakah pertimbangan lain yang memungkinkan keputusan berat sebelah.
  4. Adakah dalam jangkauan kemahiran? Adakah mungkin usaha terbaik anda masih tidak mencukupi?
  5. Adakah adil? Adakah menidakkan kepentingan hak orang lain.
  6. Adakah bertimbang rasa? Adakah melanggar kerahsiaan, keperibadian atau menyinggung orang lain?
  7. Adakah konservatif? Adakah membuang masa atau sumber lain?

 10 perkara untuk pengguna dan profesional komputer yang dicadangkan oleh Institut Etika Komputer (Computer Ethics Institute)

  1. Tidak menggunakan komputer untuk membahayakan orang lain.
  2. Tidak mengganggu kerja komputer orang lain.
  3. Tidak membelek fail komputer orang lain.
  4. Tidak menggunakan komputer untuk mencuri.
  5. Tidak menggunakan komputer untuk menjadi saksi palsu.
  6. Tidak menggunakan atau menyalin perisian yang tidak dibeli secara sah.
  7. Tidak menggunakan sumber komputer orang lain tanpa kebenaran atau sebarang bayaran.
  8. Tidak menggunakan tanpa kebenaran output intelektual orang lain.
  9. Memikirkan akan kesan sosial program atau sistem yang dibangunkan.
  10. Menggunakan komputer dengan memberi pertimbangan dan hormat kepada manusia lain.


 Menghayati isu hak cipta, harta intelek dan cetak rompak perisian.

Hak Cipta
            Hak cipta adalah satu perakuan undang-undang yang melindungi pencipta-pencipta harta intelek daripada ditiru oleh orang lain untuk sebarang tujuan. Ini menetapkan hak-hak pembeli untuk menggunakan perisian dan pada masa yang sama penciptanya mengekalkan hak milik dari segi undang-undang.
            Perlindungan hak cipta adalah jelas. Ia melindungi program daripada ditiru sebahagian atau seluruhnya. Ganti rugi akan diperolehi sekiranya undang-undang ini dilanggar. Kekurangan dalam perlindungan hak cipta ini ialah idea-idea tersirat di sebalik suatu hasil kerja itu tidak dilindungi, hanya manifestasi daripada hasil kerja itu sahaja yang dilindungi. Seorang pesaing boleh menggunakan perisian orang lain, memahami bagaimana ia berfungsi dan membuat perisian baru yang mengikut konsep yang sama tanpa melanggar hak cipta.
            Saman pelanggaran hak cipta “lihat & rasa” adalah mengenai perbezaan di antara satu idea dan bagaimana ia dinyatakan atau diluahkan. Sebagai  contoh, pada awal tahun 1990-an, Apple Computer telah menyaman Microsoft Corporation dan Hewlett Corporation Inc. Atas perlanggaran hak cipta rupa paparan pengantara (interface). Apple Macintosh mendakwa bahawa defenden meniru rupa Window yang berlapis-lapis. Defenden membalas dakwaan bahawa idea Window yang berlapis-lapis hanya boleh dinyatakan dalam satu cara dan oleh sebab itu, ia tidak boleh dilindungi di bawah doktrin gabungan dalam undang-undang hak cipta. Apabila idea-idea dan pernyataan bergabung, pernyataan tersebut tidak boleh dijadikan hak cipta. Secara umum, mahkamah mendapati bahawa konsep, fungsi, ciri-ciri fungsi umum (contohnya menu “drop-down”) atau warna-warna tidak dilindungi oleh undang-undang hak cipta.
Di Malaysia, Akta Hak Cipta 1987 secara jelas memberi perlindungan kepada perisian komputer atau kompilasi perisian komputer. Individu atau syarikat yang didapati bersalah kerana memiliki salinan perisian komputer cetak rompak boleh didenda sehingga RM10,000 untuk setiap salinan atau penjara selama lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Menurut akta yang sama, jika didapati membuat atau mempunyai alat sama ada digunakan atau bertujuan menghasilkan salinan perisian tanpa kebenaran denda sehingga RM20,000 untuk setiap alat atau hukuman penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Akta Hak Cipta (Pindaan) 1997 memberikan perlindungan penuh kepada pembangunan multimedia, memastikan kerja seseorang pencipta tidak boleh dipersembah sebagai kerja orang lain, melarang persembahan sesuatu kerja dalam bentuk yang telah diubahsuai serta mengelakkan pindahan dan pengubahsuaian maklumat pengurusan hak elektronik.

Harta Intelek

Sistem-sistem maklumat terkini telah mencabar dengan hebat undang-undang yang sedia ada dan amalan-amalan sosial yang melindungi harta intelek persendirian. Harta intelek adalah harta bukan kebendaan yang dicipta oleh individu-individu atau syarikat-syarikat. Teknologi maklumat telah menjadikan perlindungan harta intelek sukar dilakukan kerana maklumat dalam komputer boleh disalin atau diedarkan dengan mudah melalui rangkaian-rangkaian.
Bilangan rangkaian elektronik yang bertambah dengan pantas, termasuk Internet, telah menyukarkan lagi usaha untuk melindungi harta intelek. Sebelum penggunaan meluas rangkaian-rangkaian, salinan-salinan perisian, buku-buku, artikel-artikel majalah atau filem-filem mesti disimpan dalam media fizikal seperti kertas, disket komputer atau pita video. Ini menyebabkan halangan kepada penyebarannya. Melalui rangkaian, maklumat boleh dihasilkan semula dan disebarkan dengan lebih meluas (Johnson, 1997). Dengan World Wide Web, terutamanya, seseorang boleh menyalin semula dan menyebarkan hampir apa sahaja kepada beribuan malah berjuta-juta orang di seluruh dunia, walaupun mereka menggunakan sistem-sistem komputer yang berbeza.
Maklumat boleh diambil secara tidak sah daripada satu tempat dan disebarkan melalui sistem-sistem dan rangkaian-rangkaian lain walaupun pihak-pihak ini tidak berniat untuk terlibat dalam perlanggaran hak ini (Carazos, 1996). Internet telah dicipta untuk menyebarkan maklumat secara bebas ke seluruh dunia, termasuk maklumat-maklumat yang mempunyai hak cipta. Harta-harta intelek yang boleh disalin semula dengan mudah akan disalin semula (Chabrow, 1996)
Cara bagaimana maklumat diperoleh dan dipersembahkan di dalam Web telah mencabar perlindungan ke atas harta intelek (Okerson, 1996). Laman-laman Web boleh dibina daripada serpihan-serpihan teks, grafik, bunyi atau video yang mungkin berasal dari banyak sumber yang berbeza. Setiap bahan mungkin dimiliki oleh entiti yang berbeza menyebabkan timbulnya isu-isu pemilikan dan ganti rugi yang rumit.
Mekanisma telah dicipta untuk menjual dan mengedarkan buku-buku, artikel dan harta-harta intelek yang lain dalam Internet, tetapi para penerbit terus bimbang mengenai pencerobohan hak cipta kerana harta intelek kini boleh disalin dengan begitu mudah.
Kajian Pencabulan Harta Intelek 2000 yang dikeluarkan oleh gabungan syarikat-syarikat perisian dan Internet dunia, Business Sofware Alliance (BSA), menunjukkan industri perisian negara ini mengalami kerugian sebanyak RM319 juta pada tahun 1999 akibat cetak rompak.
Jumlah tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak enam peratus atau RM18 juta berbanding tahun 1998 apabila kerugian yang dicatat oleh industri negara pada ketika itu berjumlah RM301 juta.Ini seterusnya meletakkan Malaysia di tangga pertama dari segi jumlah kerugian yang ditanggung akibat gejala cetak rompak berbanding negara ASEAN lain.
Dari segi, kadar cetak rompak pula, negara mencatat penurunan kepada kepada 71 peratus berbanding 73 peratus pada 1998.Kadar tertinggi cetak rompak yang pernah dicatat oleh negara ialah 80 peratus pada tahun 1994. Kadar tersebut kemudian menurun kepada 77 peratus pada 1995, sebelum naik semula pada tahun 1995 kepada 80 peratus. Kajian yang dilakukan ke atas lebih 81 buah negara itu menunjukkan jumlah keseluruhan kerugian yang dialami oleh industri Internet dan perisian dunia berjumlah RM45.8 billion. Jumlah kerugian terkumpul sejak lima tahun lalu pula berjumlah RM224.2 billion.


Cetak Rompak Perisian Komputer

Cetak rompak perisian komputer bermaksud penyalinan secara haram perisian tersebut dengan menggunakan apa-apa cara. Apabila perisian itu dibeli oleh pengguna, hanya satu salinan perisian itu boleh disimpan di dalam cakera keras atau cakera liut pengguna. Pengguna tidak dibenarkan menyalin salinan asal ke dalam cakera keras komputer lain tanpa kebenaran pengaturcara perisian tersebut.
Jika pengguna membeli satu perisian dari kedai. Apa yang dibeli oleh pengguna terbabit ialah bukannya dalam bentuk material, sebagai contoh, cd-rom/ cakera liut, buku panduan, dan lain-lain, tetapi dalam bentuk lesen penggunaan. Ini bermakna, hanya seorang pengguna dibenarkan menggunakan perisian itu pada satu masa. Cuba kita anggap perlesenan perisian ini sebagai buku. Jika Pengguna A membeli sebuah buku novel, pada satu masa cuma seorang pembaca sahaja boleh membaca buku itu. Tidak ada cara bagi orang lain di tempat yang lain membaca buku yang sama. Sama seperti perisian komputer, Jika pengguna itu mahu menggunakan perisian itu di komputer yang lain untuk tempoh yang tetap, dia terpaksa memadamkan perisian tersebut pada komputer yang asal dan membuat instalasi perisian pada komputer baru yang mahu digunakan olehnya.
Jika pengguna itu mempunyai salinan perisian di pejabat dan dia mahu menggunakan perisian itu di rumah, ketika dia tidak berada di pejabat, maka dia boleh meletakkan perisian tersebut pada komputernya di rumah dengan syarat pengguna itu seorang sahaja yang menggunakan salinannya di rumah atau di pejabat.
Contoh-contoh penyalinan haram yang biasa dilakukan oleh pengguna:
·         Contoh 1 Pengguna A membeli perisian tersebut di kedai, dan dia memberitahu tentang perisian tersebut kepada Pengguna B. Pengguna B berminat untuk menggunakan perisian tersebut di komputernya dan meminta supaya Pengguna A membuatkannya satu salinan perisian tersebut untuk pengguna B gunakan. Ini adalah cetak rompak perisian yang selalu berlaku di Malaysia.
·         Contoh 2 Kolej A baru membeli 50 buah komputer baru. Penjaga makmal komputer itu telah membeli 1 salinan perisian yang hendak digunakan oleh pelajar-pelajar kolej tersebut di kedai berhampiran. Untuk menjimatkan kos, penjaga makmal komputer tersebut telah meletakkan perisian tersebut pada cakera keras di 50 buah komputer makmal itu dengan hanya menggunakan hanya 1 salinan asal. Cetak rompak seperti ini berlaku kebanyakan institusi-institusi pengajian di Malaysia.
·         Contoh 3 Pengguna A telah pun memesan sebuah komputer dari sebuah syarikat yang membekalkan komputer. Oleh kerana tuan punya syarikat itu mahu menjalin hubungan baik dengan pelanggannya. Dia telah meletakkan bebagai-bagai perisian kedalam cakera keras komputer tersebut. Ini adalah merangkumi perisian Windows 95, AutoCad, CorelDraw dan bermacam-macam lagi. Tetapi pengguna hanya membayar untuk kos perkakasan dan bukan untuk kos perisian. Tuan punya syarikat komputer itu telah melakukan kesalahan yang besar dengan membuat salinan haram perisian ke cakera keras pengguna. Pengguna juga dianggap bersubahat jika pengguna terus menggunakan perisian-perisian yang telah didapati dalam cakera keras beliau.

Sebab-sebab berlaku

Cetak rompak ini berlaku disebabkan sifat ketamakan, sifat tidak bertimbangrasa, tidak menghormati hak orang lain. Perisian komputer bukan dalam bentuk material, tetapi dalam bentuk intelek. Sebagai contoh, Microsoft Windows 95 yang ada pada hari ini adalah hasil dari usaha gigih pengaturcara-pengaturcara di Microsoft 25 tahun dahulu. Terdapat beribu-ribu lagi perisian-perisian yang terdapat di dunia yang memerlukan kerja keras pengaturcara. Bayangkan berapa ribu pengaturcara yang tidak tidur malam, kerja berjam-jam hanya untuk menyiapkan perisiannya dan mereka mencari sesuap nasi hanya dengan perisian yang akan disiapkan nanti. Cuba bayangkan pula betapa senangnya pencetak rompak haram yang dengan beberapa minit sahaja membuat penyalinan perisian pengaturcara tersebut.
Jika pengguna menyokong cetak-rompak dengan membeli perisian-perisian cetak rompak maka dengan secara tidak langsung pengguna telah menutup mata pencarian pengaturcara-pengaturcara dan sekaligus memakan hak orang lain. Ini semua tidak akan berlaku jika pengguna tahu yang mana benar dan yang mana salah. Salah satu kesan yang amat ketara di Malaysia ialah kekurangan syarikat tempatan yang mampu mengeluarkan perisian dalam Bahasa Malaysia. Ini kerana pengaturcara di Malaysia tahu bahawa, jika mereka mengeluarkan sesuatu perisian, maka dengan sekelip mata sahaja perisian versi haram akan keluar di pasaran. Ini sekaligus akan membantutkan industri perisian di Malaysia.
Kebanyakan syarikat perisian di Malaysia hanya membuat perisian yang telah ditempah oleh pelanggan. Ini kerana mereka tahu bahawa perisian seperti ini tidak akan di cetak rompak dan perlaburan mereka terjamin. Cuma ada beberapa syarikat sahaja di Malaysia yang mengeluarkan perisian untuk diedarkan untuk orang-ramai. Sebagai contoh, Dewan Eja, Mari Belajar Al-Quran, Jawi, dan beberapa perisian untuk pendidikan sekolah rendah dan menengah. Tetapi mereka pun masih lagi mendapat saingan daripada perisian-perisian haram yang diimport dari luar negeri yang jauh lebih murah.

Mengaut keuntungan
Pencetak rompak merupakan dalang kepada cetak rompak di Malaysia. Mereka menggunakan teknologi tercanggih untuk menyalin cd-rom asal dan mengedarkannya kepada orang ramai dalam bentuk yang lagi murah. Cuba bayangkan bahawa harga yang dijual kepada orang-ramai adalah 10% dari harga asal perisian, manakala harga kos penyalinan haram ini hanyalah 1% dari harga sebenar. Tetapi disebalik perisian-perisian haram seperi ini, terdapat banyak keburukannya. Kebanyakan perisian-perisian ini tidak boleh dipakai.
Ada sesetengah perisian haram di dalam cd-rom ini mengandungi virus. Dengan menggunakan perisian haram pengguna telah terdedah kepada virus yang amat merbahaya, dan amat malang sekali virus ini tidak boleh dibersihkan kerana ia terkandung dalam CD-ROM yang tidak boleh ditulis oleh pemacu cd-rom. Kesannya pengguna tidak boleh menggunakan cakera tersebut dan ia merupakan pembaziran. Lebih buruk lagi, jika virus itu telahpun memadamkan keseluruhan cakera keras pengguna.
Terdapat juga keadaan dimana cd-rom yang diedarkan oleh lanun-lanun ini akan merosakkan pemain cd-rom pengguna. Ini kerana cd-rom yang digunakan oleh lanun-lanun ini merupakan cd-rom yang mempunyai kualiti yang rendah dan kos untuk memproses cd-rom ini ialah sebanyak 80 sen sekeping. Berbanding dengan kos yang digunakan oleh pengedar asal iaitu RM 5 sekeping. Cd-rom yang berkualiti rendah ini akan merosakkan pemacu cd-rom pengguna dan hasilnya dalam beberapa bulan sahaja, pemacu cd-rom itu tidak boleh digunakan lagi. Jika anda mahukan pemain cd-rom anda tahan lama, gunakan cd-rom yang tulen. Walaupun harganya lebih mahal tetapi ia menjamin pemacu cd-rom anda daripada rosak dalam jangkasama yang singkat.

Mengelakkan perisian haram

Pengguna boleh mengelakkan perisian haram dengan membeli pada kedai-kedai yang terpilih sahaja. Perisian-perisian yang tulen di bungkus di dalam kotak yang berwarna-warni, menarik dan didalamnya terdapat sijil pengesahan bahawa perisian yang dibeli adalah perisian tulen. Perisian haram tidak mempunyai kotak langsung, dan ianya diedarkan didalam bekas CD-ROM ataupun di dalam sampul plastik. Jika pengguna membeli sebuah komputer baru, pastikan pengguna mendapat sijil pengesahan perisian. Ini untuk membuktikan bahawa perisian yang terkandung didalam cakera keras komputer baru itu ialah perisian yang tulen. Jangan terima sebarang hadiah dalam bentuk perisian haram yang ditawarkan oleh tuan punya kedai. Selain sumber yang diperolehi di kedai, perisian haram juga boleh didapati melalui internet, Internet Relay Chat (IRC) atau e-mail.

Bussiness Software Alliance (BSA)
BSA ditubuhkan oleh kumpulan-kumpulan perisian komputer di dunia untuk menangani masalah perisian haram ini. BSA bertanggungjawab untuk mengelakkan perisian haram ini dari berleluasa. BSA akan mendakwa mana-mana pihak yang menggunakan perisian haram. Denda yang dikenakan oleh mahkamah ialah RM10,000 untuk setiap salinan perisian haram yang dimiliki. Mahkamah tidak akan bertolak ansur dalam hal ini. Ahli ahli yang mengangotai BSA ialah Adobe, Autodesk, Lotus, Novell, Symantec, Microsoft, atCom, Extol, UBS dan CIE. Anggota-anggota ini memberi kebenaran supaya BSA boleh mendakwa mana-mana pihak yang memiliki perisian haram.
Selain daripada itu BSA juga berfungsi untuk menyedarkan orang ramai bahawa cetak-rompak perisian ini adalah sesuatu yang tidak bermoral. Orang ramai yang memberikan infomasi sehingga tertangkapnya pencetak rompak ini akan diberi ganjaran sebanyak lebih kurang RM 8000, manakala RM 5000 akan diberi lagi apabila orang yang tertangkap itu berjaya didakwa di mahkamah. Setakat ini beberapa syarikat di Malaysia telah didakwa atas tuduhan memiliki perisian haram. Dan syarikat ini telah didakwa di mahkamah dan didenda. BSA sedang memperluaskan lagi aktiviti mereka untuk membanteras cetak rompak ini.
Untuk penerbit-penerbit perisian yang lain yang tidak menganggotai BSA, BSA tidak boleh mengambil sebarang langkah atau tindakan kerana penerbit itu tidak memberikan kebenaran kepada BSA untuk mengambil tindakan mahkamah, maka perisian-perisian mereka masih lagi berada dalam ancaman cetak rompak ini.

Kesimpulan

            Etika merupakan sistem atau prinsip moral yang perlu ada untuk pengguna-pengguna komputer. Ia merupakan perkara-perkara yang perlu dipatuhi oleh pengguna-pengguna untuk menggunakan komputer dengan cara yang betul dan tidak menimbulkan masalah.  
            Isu hak cipta, harta intelek dan cetak rompak perisian pula adalah satu masalah terbesar industri komputer.  Malaysia telah komited dan percaya kepada kepentingan perlindungan hak milik intelektual iaitu salah satu elemen perkembangan e-dagang dan industri yang berkaitan seperti pembinaan kandungan dan pembangunan perisian.
Kerajaan telah melakukan pelbagai tindakan untuk menentang cetak rompak dan pergantungan kepada barangan ciplak. Adalah diharapkan bahawa peperangan menentang cetak rompak perisian akan meningkatkan pembangunan kandungan tempatan dan aplikasi berasaskan komputer .
            Pendidikan tentang perisian haram haruslah dimulai sejak kecil. Justeru itu, pendidikan tentang perisian ini sepatutnya dimulakan sejak di bangku sekolah lagi. Kesedaran pengguna paling penting untuk menangani masalah ini

3 comments:

GOMO FM